Tuesday, November 18, 2008

KEAMPUNAN DAN RAHMAT DAPAT DIPEROLEHI MELALUI DOA

KEAMPUNAN DAN RAHMAT DAPAT DIPEROLEHI MELALUI DOA

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan, dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya di dalam kehidupan kita ini tidak dapat lari dari mengharap reda, rahmat, kasih sayang serta pertolongan Allah Subhanahu Wata’ala. Di antara cara untuk kita memperolehi semua ini ialah dengan berdoa. Doa itu ialah ibadat, tiang agama, cahaya langit dan bumi, bahkan doa itu juga adalah senjata orang Mukmin.

Allah Subhanahu Wata’ala memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya berdoa dan memohon kepada-Nya kerana tiada tempat memohon pertolongan melainkan kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Ghaafir ayat 60, tafsirnya :

"Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu".

Sesungguhnya setiap doa yang benar-benar tulus ikhlas kepada Allah Subhanahu Wata’ala dijamin akan dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, tidak kira cepat atau lambat doa itu dikabulkan, apa yang penting kita telah berusaha dan mengharap semoga apa yang dipohon dan dihajati akan diterima Allah Subhanahu Wata’ala. Sekiranya seseorang itu merasakan doanya belum dimakbulkan, maka janganlah ia berputus asa, kerana ada hikmat dan rahsia yang terkandung di dalamnya. Sebaliknya hendaklah ia terus berdoa kepada Allah dengan perasaan yakin dan rendah diri kerana Allah Subhanahu Wata’ala pasti akan memakbulkan permohonan hamba-hamba-Nya.

Bagi mempastikan doa kita diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, hendaklah kita menjaga adab-adab dan tata tertib ketika berdoa, di antaranya ialah hendaklah ia dalam keadaan berwudu, memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah Subhanahu Wata’ala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ketika berdoa juga disunatkan menghadap kiblat dengan suara yang rendah sambil menadah dua tangan. Apa yang penting, dalam berdoa hendaklah bersungguh-sungguh dan khusyuk serta yakin doa akan diperkenankan.

Selain itu, jika kita tidak mahu doa kita ditolak, kita hendaklah memastikan makanan, minuman dan pakaian adalah daripada sumber yang halal. Dalam sebuah kisah, Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam menceritakan tentang seorang lelaki yang elah melalui suatu perjalanan yang jauh, lelaki tersebut dalam keadaan kusut masai dan berdebu rambutnya, menadahkan kedua-dua tangannya ke arah langit untuk berdoa seraya berkata : "Ya Tuhanku! Sedangkan makanan lelaki itu dari sumber yang haram, minumannya dari sumber yang haram, pakaiannya dari sumber yang haram dan ia makan makanan yang haram, lalu bagaimanakah doanya akan diterima?".

Perlu diingat juga bahawa kita tidaklah boleh berdoa dengan sesuatu yang tidak munasabah dan mustahil ataupun mendoakan keburukan dan kecelakaan kepada saudaranya yang lain.

Doa itu mempunyai kelebihan dan fadhilat yang banyak dan sangat besar. Melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi, manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar. Selain dari itu, doa juga boleh menghindarkan daripada bala, walaupun bala itu sudah merupakan qada (ketentuan Allah Subhanahu Wata’ala). Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam sebuah hadis Baginda, maksudnya :

"Dari Sulaiman katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada yang boleh menolak qada Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan". Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi.

Oleh itu sentiasalah berdoa baik ketika senang atau susah, namun perlu diketahui bahawa orang yang memperbanyakkan doa ketika ia berada dalam keadaan senang maka Allah akan mengkabulkan doanya ketika ia dalam keadaan susah. Amat rugilah bagi orang yang tidak berdoa kerana menutup bagi dirinya berbagai-bagai kebaikan dan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Allah Subhanahu Wata’ala.

Untuk pengetahuan jemaah sekalian bahawa terdapat banyak waktu jika kita berdoa di dalamnya, doa akan mudah dan cepat dimakbulkan, di antaranya berdoa pada malam Jumaat dan hari Jumaat, waktu di antara azan dan ikamah, ketika sujud dalam sembahyang, dalam bulan Ramadan, pada malam Qadar, hari Arafah, pada satu pertiga malam, selepas menunaikan sembahyang fardu dan banyak lagi. Apa yang mendukacitakan ada segelintir orang yang tidak mengambil berat akan amalan berdoa, di mana setelah selesai mengerjakan sembahyang, mereka akan terus bangkit tanpa berdoa terlebih dahulu. Ini termasuklah ketika mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid. Ingatlah bahawa orang yang tidak mahu berdoa dianggap sebagai orang yang sombong kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Pada kita orang-orang Brunei telah menjadi kelaziman apabila mengadakan majlis-majlis perayaan atau perhimpunan, majlis suka dan duka, tidak kira majlis kecil atau besar, maka tidak akan meninggalkan amalan berdoa bagi memohon keberkatan dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala. Tetapi perlu kita ingat ketika mendengar doa dibacakan, hendaklah khusyuk mendengar serta turut mengaminkan agar kita juga mendapat keberkatan dari doa tersebut.

Sebagai orang Islam, marilah kita memperbanyakkan doa, kerana doa itu menunjukkan kita taat dan ingat Allah Subhanahu Wata’ala. Amalkanlah berdoa di setiap masa dan dalam apa jua keadaan kita sama ada dikala senang mahupun susah. Bukankah Allah telah memerintahkan kita supaya berdoa kepada-Nya sebagaimana maksud firman-Nya : "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu", oleh itu mintalah kepada-Nya kerana kepada Allah saja tempat meminta pertolongan. Semoga doa kita diterima Allah Subhanahu Wata’ala dan kita semua menjadi hamba-hamba-Nya yang salih, amin Ya Rabalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Suarah Al-Baqarah ayat 186, tafsirnya :

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku maka beritahu kepada mereka : Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hamper kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul".

No comments: